Tuesday, February 24, 2009

Pendahuluan

Bisnes adalah salah satu cara bagi mendapatkan rezeki. Ramai orang minat berniaga tetapi kadang-kadang kita dapati tidak ramai yang tahu berniaga. Malah ramai juga yang tidak ada idea bagi memulakan perniagaan. Daripada segi teori dan ilmu, ramai orang mengetahui kebaikan perniagaan. Tidak kurang juga yang pandai berbicara selok-belok perniagaan. Malah bermacam-macam idea dilontarkan oleh pakar tetapi belum tentu dapat membantu bakal peniaga.

Bisnes bermaksud urus niaga, perniagaan, kegiatan yang berkaitan dengan modal, barangan, peniaga, pembeli, keuntungan dan kerugian. Semua perniagaan berhadapan dengan perkara di atas kebanyakan mereka yang tidak mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan menjadikan risiko kerugian sebagai dalih. Risiko kerugian tetap ada tetapi kita sebagai insan yang dianugerahkan akal dan kebijaksanaan boleh memilih bisnes yang kurang risiko kerugian.

Apabila kita memikirkan risiko, semua pekerjaan tidak dapat dijalankan. Tetapi kita juga perlu berhati-hati sebelum memulakan perniagaan supaya perniagaan yang kita ceburi itu dapat membantu meningkatkan ekonomi diri, keluarga dan negara.

Selalu kita dengar orang bercakap,apabila berniaga pasti memikir dan mengira keuntungan. Keuntungan memang dihajati oleh semua usahawan dan peniaga, malah pembeli pun inginkan keuntungan menyebelahinya.

Penulisan ini memberi sedikit sebanyak panduan berkenaan memulakan perniagaan sendiri dengan menceburi bidang penternakan kambing. Penternakan kambing adalah perniagaan yang menguntungkan. Perniagaan ini dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja. Pasaran memang tidak menjadi masalah selagi manusia hidup di bumi ini. Selagi manusia hidup, mereka memerlukan makanan. Makanan seimbangan diperlukan oleh tubuh badan manusia. Ia membantu perkembangan fizikal dan pemikiran manusia. Selain itu, pemakanan yang seimbangan dapat mengelakkan penyakit di samping membantu kesihatan.

Daging adalah salah satu sumber protien. Protien dan zat-zat lain yang terkandung di dalam daging kambing dan susu diperlukan oleh manusia. Semua orang memerlukan produk kambing tetapi tidak semua berminat memelihara kambing.

Walaupun ada yang berminat belum tentu lagi mereka dapat menjalankan kegiatan itu kerana sebab-sebab tersendiri. Jadi, bagi anda yang berminat dan tidak ada kekangan boleh mencuba perniagaan ini.
Walaupun ada risiko, ia dapat diserap melalui pelbagai cara yang tersendiri sehingga kerugian tidak terserlah, malah keuntungan yang menyebelahi peniaga. Apa yang perlu, ubah minda, persepsi dan cara pelaksanaan.

Sekiranya sanggup berubah, anda adalah orang bertuah dan berjaya. Di dalam Quran, surah al-Ra’d ayat 11 Allah menyatakan “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka berusaha mengubah sendiri”

Menurut Prof.Madya Ir. Sodri Ariffin, pensyarah di Pusat Pembangunan Usahawan (MEDEC) UiTM, dalam artikel bertajuk “Kaji Potensi Setiap Sektor Sebelum Buat Pelaburan” antara lain menyebut, bidang yang baik adalah bidang yang produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan itu mempunyai permintaan yang tinggi, bilangan pesaingnya masih rendah dan pengusaha mempunyai kekuatan bagi menghasilkan produk ataupun perkhidmatan yang berkualiti.

Apabila diperhatikan saranan beliau, saya pasti bidang penternakan kambing memenuhi elemen yang disebut. Tidak salah lagi sekiranya anda mahu menceburi bidang penternakan kambing. Negara membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun mengimport daging dari luar negara bagi keperluan tempatan. Kenapa tidak kita usahakan sendiri bagi kegunaan tempatan dan mengeksport ke luar negara ?
Malaysia masih banyak tanah dan peluang bagi kegiatan penternakan.


Gembala Kambing …. 12 hb Feb 2009

Monday, February 23, 2009

Sekapur Sirih

Kegagalan dalam hidup adalah satu lumrah, Hal yang biasa
Namun memahami punca kegagalan itu dapat menghindarkan
Kita dari mengulanginya, Memilih juga bukan satu perkara yang
Mudah kalau tidak disertai ilmu, Ilmu akan anda perolehi jikalau
Anda merendah diri mempelajarinya , mendengar atau bertanya
Pada orang yang ber ILMU ….